Labels

Personal (84) Seronok (19) Pengalaman (12) Kerja (11) Pendapat (8) Sahabat (8) Lukisan (5) Puisi (5) Seni (5) Lirik lagu (4) Potret (4) Ulasan (4) Kehidupan (3) Keluarga (3) Makanan (3) Merapu (3) Pengetahuan Am (3) Perkongsian (3) Agama (2) Blog (2) Cute stuff (2) Fakta (2) Hati (2) Isu semasa (2) Motivasi (2) My Hobby (2) My Passion (2) Tag (2) Alya (1) Anugerah (1) Blythe (1) Celoteh (1) Goreng (1) Haiwan Kebangsaan (1) Jodoh (1) Kahwin (1) Kaktus (1) Karaoke (1) Kasut (1) Kidal (1) Malaysia (1) Masak Kunyit (1) Mimpi (1) Norsheila Amin (1) Nujum (1) Pensel Warna (1) Resepi (1) Ros (1) Sketchbook (1) Sotong (1) Uji minda (1) Wikipedia (1) Wordless Monday (1) peti (1)

Wednesday, June 22, 2011

Post #84 : Hidup lebih bermakna (Bah. 1)


(Artikel ini dikarang pada 31hb Mei 2011 yang lalu, saat di mana sebelum berlakunya kemalangan jalanraya yang melibatkan emak dan kakak sulung saya, namun tak bkesempatan untuk di'publish' pada hari tersebut)


Semakin hari, bertambah umur, hingga tak boleh dikira lagi dengan jari...
Semakin hari, bertambah kerut di dahi, hingga tak tau lagi makna kedukaan hati...

Hari ini..alhamdulillah...sudah sekian lama saya tak menulis (walhal selama ini pun saya bukanlah penulis blog tegar, atau sejati yang padat blognya dengan tulisan baru saban hari...) saya memuji kepada bloggers lain yang rajin menulis. kesungguhan anda menulis itu buat saya rasa, ohh...!! sudah sekian lama saya mengenal dan mewujudkan blog ini, namun entri saya hanyalah seciput. rasa kerdil nak dibandingkan dengan para blogger yang sekarang ni tumbuh bagaikan cendawan tapi entri mereka amat banyak sekali...:-)

Seriusnya, saya agak sibuk dengan perihal hidup saya. Perihal keluarga yang bagi saya ujian dan dugaan itu senantiasa ada, dan juga perihal kerja yang banyak sekali berada dalam fikiran saya.

Saya adalah anak bongsu dari 5 bersaudara, juga anak perempuan satu-satunya yang masih bujang dalam keluarga, juga kalau mengikut sifir keluarga, di kalangan saudara perempuan, seharusnya giliran saya lah selepas ini untuk mendirikan rumah tangga.

Apa makna kehidupan pada saya???

Hidup saya dilingkari, suka duka, semua rasa ada. Saya pasti orang lain juga begitu. Jadi tentulah tiap dari kita punya makna hidup yang berbeza-beza....

Perihal saya...

Sudah 27 tahun saya menikmati pelbagai rasa, di bumi bertuah ini. Tentunya kerisauan saya yang terbesar salah satunya ketika ini ialah untuk mencari pasangan sesuai untuk saya, yang mana dia boleh menjalani hidup seterusnya dengan saya. Dahulunya fikiran kolot saya hanyalah berkisar kepada, perempuan yang masih belum berkahwin, walaupun  usianya dah  menginjak ke angka 30 (atau mungkin lebih dari itu) sudah pastilah dia seorang yang memilih. Tapi memilih itu kan suatu yang subjektif...baiklah...memilih yang macam mana?

Ketika itu dalam fikiran saya ada beberapa jawapan yang skeptikal; tentu perempuan itu mahukan lelaki yang hensem, yang berduit, yang punya kerjaya hebat dan tentunya yang baik budi pekerti.

Sekarang, fikiran saya terlalu ketara berbeza. Saya akui saya menilai hidup ini dengan cara yang jauh berbeza dari dulu, jauh berbeza dari setahun yang lepas, jauh berbeza dari 5 tahun yang lepas mahupun 10 tahun yang lepas. Saya tidak mahu bercerita lanjut mengenai keluarga saya, kerana saya merasakan ruang ini bukanlah satu landasan yang sesuai untuk berkongsi tentang apa saja dan semua rasa, terutamanya perkara yang dikhuatiri menimbulkan sensitiviti melibatkan pelbagai pihak. Cuma ingin saya katakan, melalui perjalanan hidup keluarga saya, dari mana mulanya emak saya bergelar ibu tunggal iaitu sejak saya masih dalam kandungan emak lagi, saya kagum dengan mak. Setelah dewasa ini, baru saya mengenal erti yang hidup itu lebih bermakna dengan apa yang saya, emak dan  keluarga saya telah dan sedang lalui selama ini. Bermakna bagi saya, tidak hanya berkisar tentang yang manis-manis saja, yang indah-indah saja untuk dikenang. Tapi lebih bermakna dengan setiap peristiwa yang terjadi kepada saya dan di sekeliling saya. Yang membawa rasa suka waima duka sekalipun.

Dari telapak tangan masih merah, tapak kaki sebesar ibu jari, saya dan adik-beradik dijaga baik oleh emak, atuk dan nenek di sebelah emak (yang saya selesa panggil Tok dan Wan). Saya dibesarkan dalam suasana kampung, betul2 pure orang kampung :-). Emak bekerja makan gaji dengan kerajaan, tapi jawatannya tidaklah tinggi, sesuai dengan emak hanya mendapat pendidikan sehingga tingkatan 3 saja. Tapi demi kami 5 beradik, menyediakan makan pakai kami, kelengkapan kami, emak bekerja gigih.

Dulu.. waktu saya masih terlalu mentah untuk mengerti apa-apa, pernah seorang hamba Allah ini mengatakan yang emak tak mungkin mampu menyekolahkan kami 5 beradik hingga darjah 6 sekalipun. Dan kami tak bermaksud membuktikan dia salah, namun walaupun tidak bergelar seorang doktor atau peguam yang hebat, dan bukanlah lulusan luar negeri, namun saya dan adik beradik akhirnya bergelar pelajar IPTA. Alhamdulillah berkat dari Allah s.w.t, usaha gigih ibu dan keluarga saya.

Dalam pahit getir menyekolahkan kami, saat kanak-kanak lain yang perginya dihantar ibu atau ayah ke sekolah dengan motor mahupun kereta, kami 5 beradik ke sekolah dengan basikal dan kadang-kala hanya berjalan kaki, yang saya kira jauhnya 3km, dan jalan ke sekolah pada suatu ketika dulu yang kami panggil 'jalan baru' itu hanya jalan yang di kiri kanannya kawasan hutan dan berpaya. kalau nasib kurang baik, bertembunglah kami dengan kumpulan monyet-monyet atau babi hutan yang melintas jalan. Pernah juga di mana saya yang ketika itu darjah 1, dijemput oleh arwah atuk pulang dari sekolah, terserempak dengan ular tedung yang sedang melintasi jalan. ular itu masyaAllah besarnya....mujurlah atuk sempat mengelak dan memberhentikan basikal di tepi jalan.  itu tak dikira sesusah mana :-) sebab saya percaya ada lagi yang jauh lebih susah.

Masih segar dalam ingatan saya, bila musim hujan, sebelum ke sekolah, emak akan bungkuskan beg2 sekolah kami dengan plastik beras, bagi mengelakkan buku-buku basah, begitu juga dengan kasut2 sekolah kami. Betapa saban hari emak bersusah-payah menyental kotoran di uniform sekolah kami, memastikan kami seperti budak-budak lain, kemas dan bersih setiap hari ke sekolah. Kerana kami hanya ada sepasang uniform sekolah. Saya sangat menyanjungi emak, sebab kami adik-beradik masih mampu berselipar, masih mampu berpakaian bersih walaupun dalam keadaan yang agak kekurangan. Alhamdulillah bila dah masuk sekolah menengah, emak mampu menyediakan lebih keperluan buat kami adik-beradik.

Arwah Tok (meninggal pada tahun 1996 sewaktu mengerjakan fardhu haji) dan arwah Wan (meninggal pada tahun 2002 kerana sakit tua) tentunya individu yang sangat banyak menjaga kami semasa kecil hinggalah mereka tiada. Saya sangat rapat dengan kedua-duanya. Dan tentunya bila mereka tiada, saya juga antara yang paling sedih, paling terasa, dan paling sunyi dengan kehilangan mereka.

Saya mula bersekolah pada 1990, di Tabika Kemas Kampung Pangsenam. Dan ketika 4 tahun, dah mula dihantar mengaji ke rumah mak saudara (Makde) berhampiran dengan rumah kami. Perjalanan dari rumah kami ke rumah Makde punya cerita yang manis untuk dikenang. Walaupun rumah Makde tidaklah jauh mana, tapi kami terpaksa melalui hutan kecil dan paya yang laluannya kami panggil 'ikut darat' untuk ke rumah Makde saban petang. Kalau nasib kurang baik, terserempak dengan babi hutan dalam perjalanan. Yang paling disukai tentulah mengutip buah ketapi, buah getah dan buah salak sepanjang perjalanan pergi dan balik dari mengaji. Terima kasih Makde dengan tunjuk ajar kepada kami. Alhamdulillah saban tahun, kami adik beradik sehingga sekarang masih melawat Makde terutama sekali bila waktu raya.:-)

Sewaktu darjah 1, di SK Kampung Tengah, saya bukanlah pelajar yang sedarinya bijak. Saya ditempatkan di kelas 1T. Dahulu darjah 1 hingga 6 hanya ada dua kelas, iaitu kelas K untuk Kampung, dan T untuk Tengah. Hari permulaan sekolah, saya rileks aje, sebab Kak Ngah, Kak De dan Abang saya pun bersekolah di situ. ketika itu Kak Long saya dah pun masuk ke Tingkatan 1. Saya tak menangis macam budak lain. Cuma saya agak pendiam semasa di sekolah. Hingga terbawa-bawa ke sekolah menengah. Kenangan semasa darjah 1, saya pernah diketuk di kepala dengan pembaris kayu kerana memberi jawapan salah dalam soalan Matematik. Sejujurnya, keputusan subjek Matematik saya masa darjah 1 memang C. Namun, yang paling saya ingat ialah apabila saya memenangi tempat pertama peraduan melukis peringkat sekolah rendah daerah temerloh bagi kategori darjah 1-3.

Sehingga darjah 6, pada suatu ketika saya telah diberikan biasiswa oleh seorang usahawan kaya di daerah saya. Di dalam sekolah saya, hanya saya dan seorang lagi sahabat saya ditawarkan biasiswa tersebut. Berita itu sangat disambut gembira dengan rasa syukur oleh saya dan keluarga. Pada ketika itu, Tok dan Wan bersama dengan seorang ayah saudara saya sedang mengerjakan fardhu haji dan saya seperti tak sabar nak memaklumkan kepada mereka mengenai berita gembira tu. Tapi Allah lebih berkuasa mengatur segalanya. Beberapa minggu sebelum Tok dan Wan ke Mekah, Tok ada bersembang dengan saya, katanya dia mahu meninggal dunia di Mekah. Ketika itu saya hanya terdiam. Benarlah janji Allah, pada petang hari raya Aidiladha tahun itu, kami menerima khabar duka dari Mekah, yang Tok telah menghembuskan nafas terakhirnya di sana kerana menghidap semput. Jenazahnya juga turut dikebumikan di sana. Tak sempat saya nak memberitahu Tok mengenai berita gembira saya itu...Al-fatihah... 


(Bersambung...)